Sunday, September 2, 2012

Salah Tapi...

Pernah tak kita rasa yang perkara yang kita tengah buat ni adalah salah, tapi kita masih meneruskannya? Kalau ada, kalau pernah, kenapa ya? Mengikut seorang 'ahli saintis yang amat terkenal' (hamba reka fakta ni supaya blog hamba jadi akademik dan terkenal sampai pelajar PhD ambil blog hamba jadi sumber rujukan ^_^) ini mungkin disebabkan mereka yang melakukannya berfikir bahawa mereka mempunyai kuasa untuk memilih untuk berbuat apa sahaja, atau mungkin juga mereka berfikir yang kesan daripada tindakan mereka itu tidak begitu berat dan mereka boleh memikul akibatnya, atau mereka tidak berfikir langsung sewaktu melakukannya. Dan hamba bertanya ahli saintis tersebut kenapa ada tiga sebab sahaja, tapi ahli saintis itu membalas, dia ada banyak perkara lain lagi untuk difikirkan (yang ini pun hamba olok-olok jer ^_^).

Sedar atau tidak, banyak sebenarnya perkara yang kita tahu salah, tapi kita masih buat. Paling jelas, buang sampah merata-rata. Itu, anak-anak murid sekalian, ustaz-ustazah, guru-guru pendidikan sivik, semua sudah habis modal untuk bagitau dan ajar kita tentang nilai buruk ini. Itu yang kita nampak.

Kalau menyentuh bab jiwang-jiwang karat oksida besi ferum tahap cintan, ada sesetengahnya memang sedar yang mereka sedang bercinta dengan orang yang salah. Tapi kenapa agaknya mereka masih meneruskan juga menuai perasaan yang tidak pernah tertanam? (perggghhhh... ayat!!).

Oleh itu, hamba membuat kesimpulan sendiri. Kita masih belum sempurna. Dan itu bagus sebenarnya. Kerana itu menunjukkan kita masih manusia. Dan kalau kita sedar kita manusia, kita masih belum sempurna, kita akan tahu, cara untuk menjadi manusia. Dan walaupun kita tahu kita tidak akan sempurna, sekurang-kurangnya kita akan jadi manusia yang cukup. Cukup akal, cukup rasa, dan paling penting, cukup iman. Ingat kita semua, yang buruk pun ujian, yang baik pun sebenarnya ujian.


Sunday, August 26, 2012

Mana Payung?


Artikel kali ini mungkin berat sikit. Tapi, masih santai ^_^

Pernah dengar tak peribahasa 'sediakan payung sebelum hujan'? Atau yang agak moden sikit 'sediakan panadol sebelum demam'? Hohoho.. Begitulah kata-kata hikmat orang-orang kita untuk mengingatkan tentang peri pentingnya membuat persediaan. Mungkin timbulnya kata-kata begini pasal fitrah kita yang suka melewat-lewatkan kerja (ehem: yang menulis ni pun ingat-ingat sikit! ^_^). Atau mungkin juga pasal fitrah kita yang mudah kecewa? Dan samada kita sedar atau tidak sedar, Maha Besar ALlah, alam sendiri sudah ada mekanisma persediaanya sendiri untuk menghadapi apa saja yang didatangkan. Untuk insan, ALlah telah membuat persediaan terhebat pula untuk mereka; akal.

Bila kita membuat persediaan, pasti sebabnya agar kita tidak mahu ditimpa kekecewaan. Namun, bila membuat persediaan untuk apa saja perkara, satu hakikat yang perlu diingat ialah Iradah ALlah Taala adalah Mutlak dan hakNya semata-mata. Sehebat mana persediaan kita, menjadi hamba, kehendak Tuan kita memang tak mampu kita elak. Macam bila keluar rumah, kita pun bawa payung. Moganya nanti, kalau hujan, paling kuat pun kena tempias je. Mana tahu, kuasa Tuhan, payung tu rosak pula. Al kisahnya..

Oleh itu sahabat-sahabat, bersiap sedialah. Tetapi, jangan dilupa asa kita hanya asa seorang hamba, mohonlah yang terbaik dari Yang Punya Iradah. Dan sebaik-baik persediaan ialah persediaan kita untuk Hari Yang Kekal.

"Rabbana aatina fiddunya hasanah, wa fil aakhirati hasanah.." - Amiin.


Tuesday, August 14, 2012

Alalala Tok, Jangan Saman!!

Raya sudah dekat. Dan masa inilah yang dinantikan oleh orang-orang di perantauan macam hamba untuk pulang ke desa tercinta (cumanya tahun ni hamba tak balik Soromban Tanah Beradat T_T ). Dan pada waktu-waktu beginilah cuti abang-abang polis trafik dibekukan semata-mata nak jaga keselamatan kita (?) di jalanraya. Jadi kita boleh bayangkan betapa tensennya abang-abang polis kita yang tak boleh beraya pasal kena jaga orang yang dia sendiri tak kenal tak kira siang malam.

Oleh itu, hamba nak bagi tips kepada sahabat-sahabat sekalian sekiranya ditahan polis atas kesalahan trafik, tolong jangan guna alasan-alasan atau kaedah di bawah kerana ini mungkin akan menaikkan tekanan darah dan memekatkan hemoglobin abang polis trafik tadi:

Bila bawak lebih laju dari had dibenarkan : Mintak maaf abang polis. Saya bawak makanan beku kat belakang untuk jamuan hari raya ni. Nanti kalau lambat, dia busuk.

Naik motor tanpa road tax : Nampak jer polis, terus bawak motor atas rumput. Bila kena tahan, polis tanya mana road tax, dia jawab "Saya tak guna jalan, boss. Saya bawak atas rumput ni"  P/s: Ini adalah cadangan dari Ustaz Azhar Idrus sendiri semasa ceramahnya ^_^ ..

Kantoi guna telefon bimbit sewaktu memandu : Nampak jer polis terus buat-buat guna telefon bimbit jadi alat pencukur. P/s: Ini kisah benar. Sewaktu hamba berborak dengan sorang abang polis ni, dia kata orang lelaki selalu buat macam ni.

Memotong di garisan berkembar : Bila kena tahan dengan abang polis, dia pun jawab " ..semalam saya tengok ada lori buat. Tak kena saman pun. Ini tidak adil!! .. "

Hamba bagi 4 jer lah. Malas pulak nak taip panjang-panjang bulan puasa nih. Sebenarnya, nak suka-suka jer. Maklumlah, nak raya. Di kesempatan ini hamba nak mohon maaf kalau ada salah dan silap dalam artikel hamba. Dan moga amalan kita di bulan Ramadhan ni diterima ALlah Yang maha Esa. Selamat Hari Raya Idul Fitri.

TaqabbalaLlah minkum.. Insya ALlah


Sunday, August 12, 2012

Tahniah, Engkau Vodoh!!


Bilamana saudara dan saudari baca tajuk artikel ini dan tergerak untuk meneruskan pembacaan, bermakna saudara dan saudari sedang mengakui kebodohan diri sendiri. Jangan marah. Dan tak perlu tunggu hamba dalam bas balik ke Seremban dari Kota Bharu untuk pukul hamba. Biar hamba cerita habis dulu. Hohoho..

Mana ada orang nak mengaku diri dia tu bodoh. Tapi hakikatnya, kebodohan tidaklah seteruk yang kita sangka. Bila kita bodoh, kita akan lebih terbuka dan lebih senang untuk menerima sesuatu. Syaratnya ialah kesedaran. Kesedaran yang kita ini bodoh akan membuka pintu menuju ilmu.

Yang bahayanya bila bodoh, ialah tak nak mengaku bodoh, dan ingin terus jadi bodoh. Eh, jangan salah sangka pulak!! Sebenarnya kita bukan bodoh tulen. Cuma kadangkala kita gagal elakkan diri kita dari tergelincir ke daerah kebodohan itu saja. Kenapa kita tak pandai bahasa Thailand? Pasal kita gelincirkan diri kita ke daerah kebodohan bahasa. Kenapa kita tak pandai tukar lampu kalimantan yang rosak? Jawapannya lebih kurang dengan soalan yang sebelumnya, cuma daerah kebodohannya berbeza.

Jadi, jangan marah bila orang jerit kita bodoh. Kita ucapkan terima kasih pada dia dan bagitau dia ".. semoga tuan juga sedar akan kebodohan yang ada pada diri tuan.. " ( dan kalau itu boss kamu, bersiap sedia untuk dipecat, hohhoho..).

Kebodohan adalah rahmat bagi mereka yang sedar. Kalau tidak masakan Imam Ali r.a berpesan agar kita menjawab kepada soalan yang kita tidak tahu dengan " Ana la a'rif wa la ahsan. WaLlahu A'lam - Saya tidak tahu dan bukan yang terbaik. Dan ALlah saja yang Maha Mengetahui"

Monday, August 6, 2012

MENYESAL

Hidup memang penuh dengan penyesalan. Hohoho.. hamba rasa, Nadirah pun mesti banyak penyesalan. Lagi menyesal kalau dia pilih mamat Ammar takde masa depan tu berbanding dengan si Bazli yang punyalah hebat asik pakai tali leher jer walaupun dalam rumah dia (macamana hamba boleh terjebak dengan drama nih..). Tapi, persoalannya: benarkah hidup mesti tanpa penyesalan?


Tidak ada perkara dalam dunia ini yang ALlah cipta tanpa gunanya. Kita banyak dengar orang nasihat, "..nanti menyesal, tiada gunanya..". Dari satu aspek, memang betul, tetapi, macamne nak hidup tanpa penyesalan? Cuba angkat tangan siapa yang sebelum tidur, tak pernah terfikir perkara yang dia buat siang hari dan tidak ada rasa menyesal? Kalau tak perkara besar pun, mesti kita ada menyesal dalam perkara yang kecil.

Nak memendekkan hikayat, sebenarnya kita tak perlu hidup tanpa penyesalan, tapi kita kena terima hakikat akan kesilapan yang kita lakukan hingga kita menyesal tu. Ambil iktibar dan teruskan hidup. Andai kita tak pernah rasa menyesal, maknanya ada ssesuatu yang tak kena dengan kita. Iyalah, manusia mana yang tak pernah buat silap. Dan kalau kita tak pernah menyesal, maknanya kita tak pernah buat silap, atau kita tak rasa bersalah atas perkara silap yang berlaku samada atas diri kita atau yang kita buat pada orang lain. Penyesalan ialah satu alat 'pembetulan moral' kita.

Taubat itu merupakan satu contoh kaedah menyesal. Jadi sekali lagi, menyesallah dan perbetulkan. Cuma jangan over sangat sampai menjejaskan hidup kerana di sebalik penyesalan, ada ubatnya iaitu pengharapan.

'.. tubnaa ilaLlah, wa raja' naa ilaLlah. wa nadimnaa a'la maa fa'alna..'

Tuesday, July 31, 2012

CERITA RAYA

Sebelum mula, izinkan hamba ucapkan Salam Ramadhan dan selamat berpuasa. Biasalah, dalam bulan Ramadhan ni, bila berpuasa, memang banyak cabaran, sebab tu kena ucapkan selamat berpuasa. Takut ada pulak yang syahid di tengahari. Hohohoho.. Sementelah di bulan Ramadhan ni, memang banyak orang bercerita pasal raya, maka sajaklah kiranya hamba pun mengikut trend. Hohohoho...

Sudah hampir 2 minggu kita berpuasa ni, maka sesetengah daripada kita dah mula sibuk-sibuk dengan biskut raya, baju raya, duit raya. Hari raya biasalah, memang budak-budak yang seronok. Ibu, ayah, emak, bapak pun seronok juga. Sampai keluar air mata pasal kena keluar duit lebih bulan ni. Hohohoho... Seronok, seronok juga. Nak meriah-meriah juga, cumanya nasihat hamba, ikutlah kemampuan. Jangan sampai membazir sudah. Sahabat-sahabat yang bekerja dalam kerajaan, dan sahabat-sahabat yang dapat durian runtuh dari kerajaan untuk raya ni, ingat-ingat sikit dalam berbelanja.

Tapi kalau nak tau, orang bukan sekadar sibuk nak sambut hari raya je sekarang ni. Kalau nak tau hari raya bila, orang belek kalendar dah boleh agak bila. Yang orang sekarang tengah tilik betul-betul, ialah tarikh Pilihanraya. Hohohoho...

Thursday, October 6, 2011

Harimau Mati Tinggalkan Belang, Steve Jobs Mati Tinggalkan Apple



Steve Jobs sudah tiada. Ya. Itulah cerita pertama bila hamba tengok kat Bloomberg hari nih. Tapi yang hamba nak cerita bukan pasal kematian Steve Jobs. Tapi tentang bagaimana Steve Jobs ni cukup berpegang teguh kepada pepatah nenek moyang kita "harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama" (walaupun hamba yakin yang dia sendiri tak pernah dengar orang cakap Bahasa Melayu dengan dia.. hohoho).



Encik Steve Jobs pernah berkata " Being the richest man in the cemetery doesn’t matter to me … Going to bed at night saying we’ve done something wonderful… that’s what matters to me."



Lalu apa yang terdetik di kepala hamba yang sentiasa kosong dan kadang-kadang serabut dengan perkara yang mengarut ini, untuk 'meninggalkan nama', memang kita kena 'tinggalkan niat untuk mendapatkan nama' bila membuat sesuatu. Pendek kata, ikhlas.



Sama jer bila beramal. Ingatlah janji kita tiap kali kita pacakkan kaki kita atas sejadah di awal solat kita. Ingat juga firman Allah "Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)". (QS. Al-An'aam: 162-163).



Tuesday, September 20, 2011

Pemasaan Pak Mustar



Salah satu masalah dengan dunia ialah, dunia ini terikat dengan masa. Bukan setakat terikat, malah berbelit-belit, bersimpul-simpul dengan masa. Jadi, bila nak buat sesuatu, pemasaan atau timing mesti betul. Kalau timing tak betul, itu yang kita buat apa pun tak jadi. Tak percaya? Cuba tanya Fernando Torres (tak kenal? tanya Uncle Google) . Samada timing dia masuk Chelsea itu hari tak betul, atau timing dia tendang bola masuk gol sudah tak betul. Hohoho..



Dalam seni beladiri, silat contohnya, timing yang betul mustahak hatta berbunga sekalipun. Kalau tidak, 'sumbang' bak kata Pendekar Mustar. Dalam aikido, timing teramat penting dan untuk peroleh timing yang brilliant, kena rasa sendiri dalam latihan. Masalahnya, kita jarang dapat teka bila timing yang betul terutamanya dalam hidup.



Pendek kata, timing amat penting bila nak buat keputusan. Kadangkala keputusan yang diambil itu memang betul, tapi, bila timing ada sikit lari, itu yang tak berapa nak menjadi. Contoh, seorang wanita berusia 60 tahun ingin mengandung. Mengandung untuk dapat anak memang bagus, tapi timing kalau ikutkan sudah lewat amat. Petani pun kalau ada benih yang baik, tapi timing nak semai benih tak betul, pun tidak akan menjadi juga tanaman dia.



Sebab tu ALlah berfirman manusia ni akan rugi, dalam Surah Al A'sr (1-2) : "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian." Pengalaman hamba, untuk dapat timing yang baik, kita kena sentiasa mencuba. Sambungan untuk Surah Al A'sr (3) : "kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh". Beramal itu sama ertinya bertindak. Bukan duduk saja dan menunggu.


Monday, September 19, 2011

Engkau Stress ke Maria?



Dalam pada dunia makin keluh kesah, kita pun sudah mula dengar jeritan batin umat. Jeritan batin ni walau tak kedengaran di telinga, tapi kelihatan pada mata, dan pada rasa.


Pergh, ayat pagi-pagi Isnin ni!! Jeritan batin ni kiranya macam stress la. Rasa marah, kecewa atau tak puas hati yang dipendam, maka lama-lama dia akan jadi penyakit jeritan batin ni. Semua orang akan stress. Cuma tuan-tuan hamba sekalian perlu pandai untuk urus stress masing-masing.


Ada banyak buku-buku yang hamba tengok ajar cara urus stress. Bagi hamba, selain dari cara yang dicadangkan, macam bersenamlah, fikir positiflah, pergi bertapalah, itu sebenarnya kaedah potong rumput jer. Yang patut buat ialah buang akar; kita kena elak punca stress tu. Kalau stress kat tempat kerja contohnya, berhenti jer lah. Hohohohoho.. er, itu kaedah extreme. Yang betulnya, kalau stress boss asyik marah-marah, jangan lah bagi dia marah. Al contoh.


Berbalik kepada punca, mungkin sebab kita stress, ialah kerana kita terlalu bergantung pada makhluk untuk tenangkan jiwa kita. Pergi clubbing, baca buku konon, tengok tv. Hohoho.. Ingat, apa-apa pun yang datang, itu dari ALlah semuanya, hatta stress pun. Jadi kita mohonlah pada ALlah biar ditenangkan hati. Sahabat sekalian "..Alaa bizikriLlaahi tatmainnal quluub.." (ArRad:28) - hanya dengan mengingati ALlah, hati akan menjadi tenang.



Tuesday, September 13, 2011

Ghairah Kaya




Semua orang nak kaya. Bukan kaya yang sapu kat roti tu, tapi kaya berduit. Fuh!! Kalau tuan hamba semua tanya hamba, " ...kalau engkau ada RM1 juta, apa yang engkau nak buat?..", hamba pun tak boleh nak menjawabnya. Pasal memang terlalu banyak perkara hamba nak buat dengan duit tu.


Dalam pada nak cari banyak duit tu, maka ramailah yang mencari kaedah untuk berduit. Ada guna cara betul, ada guna cara salah. Bila zaman makin moden, maka cari duit ni pun menjadi pelbagai. Yang mana sibuk berniaga, berniaga, yang mana gila melabur, melabur.

Cumanya, yang hamba sering tanya diri hamba, hidup kita ini memang cari duit je ke? Terlalu banyak perkara yang kita ingin, sampai terabai perkara yang perlu. Betul ker? Tak juga. Pasal dunia zaman sekarang ni, perkara yang perlu tu pun amat banyak memerlukan duit. Jadi, tidaklah salah cari duit, cuma biarlah kena gaya.

Ingatlah lirik lagu Herman Tino ".. harta bukan milikmu, untukmu hanya rezki, terkurang kumpul lagi, terlebih memberilah".


Monday, September 12, 2011

Cara Menjawab Exam (Untuk Mereka Yang Masih Kurang Ready)




Disebabkan musim peperiksaan sudah dekat, ingin rasanya hamba perturunkan ilmu zaman dahulukala untuk jawab exam, bagi umat-umat yang masih belum ready lagi. Tok nenek kita yang mana belum ready masa nak jawab exam dulu pun, dah lama buat kaedah ini, dan diperkembangkan lagi dengan daya inovasi Generation X dan Y kita.



1. Tengok orang sebelah. Cara paling tak banyak usaha tapi paling berisiko. Hanya boleh dilaksanakan jika ada penglihatan terbaik kiri dan kanan. Buat-buat lenguh tengkuk sikit, dan jeling kiri kanan. Tips: duduk sebelah budak pompuan. Diorang nih biasanya pandai. Diulangi - BIASANYA.


2. Tulis maklumat di tapak tangan. Juga merbahaya. Lebih-lebih lagi kalau tulis pakai pen biasa. Sila guna pen Kilometrico yang boleh dipadam guna pemadam pensil, pasal bila cikgu datang, senang padam. Tips: pastikan tangan jenis tidak berpeluh dengan banyak.


3. Tulis formula kat kalkulator. Kalkulator yang afdhal ialah kalkulator saintifik berpenutup. Berdasarkan pengalaman pengamal, kaedah ini jarang kantoi. Antara kaedah toyol yang terbaeeekkk!!


4. Antara kaedah terkuno, tulis di atas meja. memerlukan persiapan awal. Kalau kantoi, cakap la bukan sendiri yang tulis.


5.Tulis formula atas pemadam. Sebagai alternatif, boleh juga digunakan sebagai dadu bila terdesak untuk soalan objektif.


6. Zaman makin moden, dan toyol juga makin moden. Guna MP3 player. Rakam maklumat dalam MP3 Player pastu dengar masa jawab exam. Seswai untuk yang bertudung. Tips: Volume ditetapkan pada kadar yang sepatutnya. Jangan sampai pengwas dengar sama.


7. Tisu dan sapu tangan juga boleh menjadi medium masa exam. Pandai-pandai la buat lap hingus ke, peluh ke, meja ke. Tips: Seeloknya guna sapu tangan kain halus tu. Senang tulis.


8. Tulisan Magik!! Caranya: dua kertas diletakkan bertindih dan nota atau formula ditulis dengan menekan kuat masa pada kertas bahagian atas. Bawa kertas yang di bawah tu semasa peperiksaan sebagai alas jawapan.



Begitulah serba sedikit petua zaman dahulukala. Cuma sesiapa yang mengamalkan apa yang termaktub dia atas, sebenarnya amatlah malang kerana nampak sangat kurang bersedia. Bukan tak bersedia langsung, cuma kurang bersedia.

Friday, September 9, 2011

Sabar-sabar..



Cukai naik lagi. Kali ini, mangsanya tambah nilai untuk talian telefon bimbit. Bertenang, bertenang. Bak kata ex-bibik hamba dulu "Tak perlu ribut-ribut..". Kita tengok alternatif yang ada, andai rasa macam susah nak bayar kenaikan cukai kepada 6% tu.



1. Kembali guna kaedah zaman dulu untuk berhubung. Guna burung merpati ke, isyarat asap ke, tin susu sambung dengan benang ke. Pepandai la nak hidup.



2. Bela jin atau harimau jadian. Tiap kali nak hantar mesej, suruh jin/ harimau jadian hantar. Paling sesuai untuk mesej berunsur ugutan. Upah pun lebih kurang hisap darah gak (literally).



3. Duduk dekat dengan orang yang kita selalu hubungi sebelum ini. Contoh: Kalau selalu bergayut dengan girlfren/ boifren, untuk jimat, kita buat khemah belakang rumah dia. Asal rindu jer, ajak la dia borak.



4. Kita ikut cakap Karl Max, kita gulingkan jer kerajaan kapitalis tersebut.



Mengarut?



Memang la mengarut. Tapi zaman sendiri memang dah mengarut. Yang kaya makin kaya. Yang miskin makin tertindas. Cuma bagi hamba, janganlah diikut sangat dengan keadaan. Kita boleh jaga diri kita. Kawal diri kita. Cari jalan untuk atasi masalah ini. Ingat, ini pun ujian dari ALlah juga. Dan firman ALlah dalam surah Al Baqarah ayat 286 : ALlah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.



Yang lain-lain tu, biarlah puak-puak tu jawab dengan Tuan Segala Tuan kat "yaumala yanfa' maalun wa la banun" - hari di mana tidak berfaedah harta dan keturunan.

Thursday, September 8, 2011

Moh Kita Menangis Ramai-Ramai



Siapa yang tak pernah nangis? Kalau ada yang angkat tangan, samada dia tu keturunan Conan the Barbarian (sila rujuk filem CONAN THE BARBARIAN- 1982, skrip Subotai: He is Conan, Cimmerian, he won't cry, so I cry for him), atau memang ada masalah kat kalenjar air mata dia.


Menangis ni lemah? Tak elok menangis? Orang pompuan jer nangis?


Al kisahnya, bukanlah begitu. Menangis itu melembutkan hati. Memang benar hati kena kuat, kena gagah, kena tabah. Tapi, hati pun macam mata pisau. Kalau nak tajamkan mata pisau, tak bolehlah terus tenyeh dengan batu asah. Kena siram sikit dengan air. Baru senang untuk ditajam. Bila dah tajam, baru senang nak potong bawang. Hati juga begitu.


Kalau perlu menangis, menangislah. Ia nikmat Tuhan yang tidak sia-sia. Yang eloknya, bila menangis kerana ingatkan Tuhan kita, ALlah Yang Rahman. Lebih elok lagi bila menangis, kita amik iktibar kenapa kita menangis sambil ingat bahwa apa yang berlaku itu atas ilham Yang Punya Iradah, ALlahu Jalal.


Abu Hurairah radhiyaLlahu ‘anhu berkata, bahwa Rasulullah sallaLlahu alaihi wa sallam telah bersabda, “Tidak akan masuk ke dalam neraka, seseorang yang pernah menangis karena takut kepada Allah, sehingga air susu kembali ke putingnya, dan tidak akan dapat bersatu debu saat berjihad fisabillah dengan asap neraka jahannam”. (HR. Tarmidzi) - auka ma qal.

Wednesday, September 7, 2011

Buka Buku Baru



Rasminya hamba dah bergelar pelajar tua semula. Jadi kenalah hamba mula ulangkaji. Cuma yang bestnya, topik pembelajaran hamba sekarang berdasarkan apa yang hamba minat. Yang hamba risau kalau gagal buat pembelaan untuk tajuk kajian hamba. Tak kisah lah tu. Yang itu lama lagi.



Sekarang nih, orang sibuk nak tulis sejarah balik. Mat Sabu kata Mat Indera pejuang, waris kepada Pasukan Polis Bukit Kepong kata Mat Sabu buta sejarah. Prof. Khoo Kay Kim pulak kata Tanah Melayu tidak pernah dijajah British, hanya dinaungi sahaja. Macam-macam.



Sejarah itu pengajaran. Sejarah itu nasihat. Dan yang penting, sejarah itu fakta. Sejarah kalau tak diingat dan diajar, lama-lama jadi hikayat. Lepas itu dia jadi dongeng. Lepas itu jadi lagenda. Belajar sejarah bukan hanya ingat tarikh dan kesan kejadian, tapi kenapa kejadian itu berlaku. Lepas itu kita amik iktibar. Tokoh dalam sejarah adalah elemen. Samada tokoh itu jadi pahlawan atau jadi setan, mereka adalah elemen.



Nampaknya, tatacara kita hari ini dalam menangani masalah, seolah-olah memang tak ambil tahu langsung tentang sejarah.


Monday, March 28, 2011

Parkour Revisit!!


Sekarang nih tengah mood nak parkour semula, macam dulu-dulu kat Johor. Pergi mana-mana, asik nak berlari, lompat sana-sini. Pergi masjid pun ikut jalan straight yang cepat tapi kena panjat sana, lompat sini. Rasa macam budak-budak balik pulak. Tapi, memang best. Rasa semangat, badan rasa fit, yang peliknya, fikiran pun rasa lebih berani dan terbuka. Cubalah sendiri!! Hohohoho.. (macam iklan syampu lak, exclude the hohohohoho..)



Thursday, March 10, 2011

Balik Soromban Esok Kito!!!!


Minggu ni hamba cadang nak balik kampung halaman di Seremban. Lama dah tak balik. Tapi balik sorang jer. Hohohoho...

Jadi cadangannya, disebabkan lama dah tak bermeditasi, ingat pagi Sabtu tu nak pergi cari sungai dan nak bertafakur. Hohohoho.. orang ingat bertafakur ni perkara-perkara mengarut. Tapi sebenarnya, ia boleh merehatkan minda. Orang-orang di Barat pun dah mengakui kaedah ini sebagai terapi minda mereka. Istimewanya, orang Melayu, kita ada kaedah kita. Ada orang panggil bertapa, tapi hamba lebih suka panggil bertafakur.

Oleh itu, kiranya pagi Sabtu ni, boleh la hamba cuci-cuci aura nih, pasal banyak sangat dah terpengaruh dengan aura negatif waktu kerja hamba, yang terpaksa berhadapan dengan masalah ajer. Hohohohoho...


Tekadku (Tajuk macam cerpen Dewan Siswa..)


Ok. Hamba dah buat keputusan untuk sambung lagi belajar. Lepas konvo itu hari, jiwa rasa kosong lak. Tetiba dapat ilham baru, terus buat wang pos, register, and proposal pun dalam 45% dah siap. Nasib la. Sekurang-kurangnya, biar nampak sikit usaha. Idea tengah berlambak nih, jalan biar terus.

Sekarang tetiap malam baca jurnal. Buat literature review. Moga Allah mudahkan jalan. Amin. Buat isteri tersayang, keluarga dan sahabat, moga terus sokong hamba!! Hohohoho..

Wednesday, March 9, 2011

Kejadian Di Pejabat Pos


Itu hari pergi Pejabat Pos nak buat wang pos. Tapi hamba dah silap pergi, pasal orang tengah sibuk bayar saman ekor. Jadi itu Pejabat Pos sudah jadi macam orang pergi tengok gigs. Punyalah ramai. Hohohoho..

Disebabkan kesuntukan masa, hamba minta tolong la dengan seorang auntie ni tolong buat wang pos, kebetulan turn dia. Dia ok jer, mungkin pasal tengok hamba punya muka kesian. Tapi kerani pejabat pos tu tak bagi pulak. Fine, tapi cakap ler elok2.. bikin hamba panas jer. Tetiba jer rasa nak santau minah tu. Ceh.. tapi hamba dengan penuh gentleman cakap terima kasih kat auntie tu dan cabut. Sambil jalan tu, hamba kentut sekali. Padan muka. Hohohoho..

Esok pagi tu dia ada lagi, tapi hamba berurusan dengan orang lain jer. Kalau tak, sia-sia la kentut hamba itu hari. Hohohoho..

Saturday, March 5, 2011

Tanam Pokok Jambu


Hari ini hari cuti. Dan hamba manfaatkan dengan berehat dengan anak dan isteri. Tapi rehat-rehat saja pun tak best. Hamba pergi nursery, carik anak pokok jambu batu nak tanam. Beli anak pokok kecik harga RM10 jer. Beli sikit pasu dengan pokok bunga gak untuk tambah seri laman rumah.

Petang tu jugak hamba tanam. Tukang jual tu kata, dalam 8 bulan ke 10 bulan, boleh la berbuah. Seronok lak rasa bila pikir boleh makan buah jambu tanam sendiri. Gambar? Malas ler nak amik gambar post kat entry nih.

Dalam pada hamba tanam jambu tadi, tetiba rasa nak berenti kerja jual sayur jer. Hohohoho.. hamba enjoy tanam-menanam nih.



Tuesday, March 1, 2011

Main Jauh-Jauh


Politik? Mintak maaflah, hamba tak pandai. Dan hamba nasihatkan sesiapa yang tak pandai politik, duduklah jauh-jauh. Cukuplah kita ambik tahu jer, tak payah lah pulak kita menambahkan kerumitan politik ni. Kononnya nak berbakti, tapi bila ada kuasa, jadi gila pulak. hohohoho... Bagi hamba yang paling penting bagi orang yang tak pandai politik macam hamba ni ialah, kita letaklah sikap kita atas satu prinsip dan peganglah.

Hakikatnya, yang buat politik ni jadi rumit pun adalah disebabkan orang yang main politik sekarang nih. Terlalu politik sampai lupa yang rakyat mual. Terlalu politik sampai lupa yang rakyat ramai yang dah pandai. Kalau boleh semua perkara nak dipolitikkan. Agama, bangsa, nilai; kalau tahik yang keluar dari buntut lembu tu boleh dipergunakan, itu pun akan dipolitikkan.

Politik tak hina dan keji.. cuma terpalit dengan kehinaan dan kekejian jer.. hohohoho..


NOBAT


Get Music Tracks! Create A Playlist!